Cerita Anak Derhaka.
“Ibu! Ibu! Ampunkan Tanggang ibu. Tanggang berdosa kepada ibu!” Itulah sebahagian dialog yang dilafazkan oleh Si Tanggang kepada
ibunya. Hai kawan-kawan! Apa khabar? Hari ini saya bukannya hendak bercerita
Kisah Si Tanggang, tetapi untuk menyampaikan sebuah cerita yang lebih kurang
sama dengan cerita Si Tanggang iaitu mengenai seorang anak yang derhaka kepada
ibunya.
Kisah yang akan saya sampaikan pada
hari ini berlaku di negeri Arab. Pada zaman dahulu ada seorang pemuda yang
sangat dihormati oleh jiran-jirannya kerana ketinggian ilmunya. Pemuda itu
sangat disenangi oleh orang ramai kerana budi pekertinya yang baik. Ya,
kawan-kawan, kita juga harus mempunyai budi pekerti yang mulia jika kita mahu
disukai oleh orang lain. Pemuda itu menjadi permata hati dan kesayangan ibunya,
apatah lagi dia merupakan anak tunggal. Walaupun dianggap sudah berilmu, tetapi
pemuda itu merasakan ilmunya belum memadai. Dia bercadang hendak ke Makkah
untuk belajar pelbagai ilmu lagi. Dia juga ingin mendalami ilmu yang sudah
dipelajari. Baginya, menuntut ilmu itu tidak ada titik perhentiannya. Bagus ya
kawan-kawan sikap yang dimiliki oleh pemuda itu. Semakin banyak kita belajar,
semakin banyak pula perkara yang kita ketahui.
Pemuda tadi pun memberitahu niatnya
untuk ke Makkah kepada ibunya.
“Ibu, saya
bercadang hendak ke Makkah untuk mendalami ilmu pengetahuan agama dengan
ulama-ulama besar di sana .
Saya mengharapkan keizinan dan restu daripada ibu,” beritahu pemuda dengan suara yang lembut.
“Anakku, engkau
adalah mutiara hati ibu. Ibu akan menderita kalau engkau pergi ke sana . Lagi pun ibu sudah
tua. Ibu tidak sanggup berpisah dengan engkau bertahun-tahun lamanya. Batalkan
sahaja niatmu itu nak,” kata ibunya dengan
suara yang sebak.
Pemuda itu
sangat hampa mendengar kata-kata ibunya itu. Dia sangat sedih kerana ibunya
tidak membenarkan dia pergi menuntut ilmu di Makkah. Semalaman dia tidak dapat
tidur memikirkan hal itu.
Keesokan harinya, secara senyap-senyap pemuda itupun berangkat ke
Makkah. Dia tidak menghiraukan nasihat ibunya supaya tidak meninggalkan ibunya
seorang diri. Pada pagi itu, ibu pemuda itu tercari-cari di mana anaknya.
Alangkah sedih hati ibu tua itu apabila mengetahui bahawa anaknya telah
meninggalkannnya. Maka berdoalah ibu tua itu.
“ Ya, Allah! Hatiku sungguh terluka
kerana anakku tidak mahu mendengar nasihatku. Anakku pergi juga walaupun tanpa
keizinanku. Ya Allah turunkanlah seksa kepada anakku itu Ya Allah.” Suara
wanita tua itu merintih dan merayu-rayu. Kasihan ya, kawan-kawan, wanita tua
itu telah ditinggalkan seorang diri oleh anak kesayangannya.
Pemuda itu akhirnya sampai juga ke kota Makkah. Dia
meneruskan pengajian ilmu agama di kota
yang masyhur dengan tempat-tempat pengajian ilmu itu.
Pada suatu malam telah berlaku satu kecurian di kota Makkah. Seorang pencuri telah masuk ke
dalam rumah seorang saudagar kaya. Kebetulan pada waktu itu saudagar kaya masih
belum tidur lena. Saudagar kaya telah menyedari tentang kehadiran pencuri
tersebut lalu segera bangun. Menyedari hal itu, pencuri itu lari
lintang-pukang. Dia telah melarikan diri ke arah sebuah masjid dan bersembunyi
di dalam masjid tersebut. Saudagar itu terus mengejar pencuri itu.
Secara kebetulan pada masa itu,
pemuda yang belajar di kota
Makkah berada di dalam masjid itu. Dia sedang khusyuk berzikir. Dia tidak
menyedari akan kedatangan pencuri yang dikejar oleh saudagar tadi. Sebagai
langkah untuk menyelamatkan diri, pencuri yang dikejar itu berteriak sambil
menunjuk-nunjuk ke arah pemuda yang sedang duduk berzikir itu. Kasihan
kawan-kawan, tanpa bersoal jawab pemuda yang berzikir itu telah ditangkap oleh
saudagar tadi.
“Engkau hendak mencuri di rumah aku ya? Pandai berdalih dan
berpura-pura warak, konon!” kata saudagar kaya
itu. Pemuda yang berzikir tadi telah dibawa menghadap raja.
“Tuanku, pemuda ini telah menceroboh rumah patik dengan niat hendak
mencuri. Patik cuba
menangkapnya tetapi dia telah melarikan diri dan cuba bersembunyi di dalam sebuah
masjid. Dia berpura-pura warak dengan berzikir. Mujurlah ada pemuda yang
memberitahu patik di mana dia berada,” kata saudagar kaya itu kepada
raja. Raja yang mendengar kata-kata saudagar itu tidak bersoal banyak. Dengan
wajah yang murka, baginda telah menjatuhkan hukuman ke atas pemuda itu dengan
memotong tangan dan kakinya.
“ Butakan juga matanya. Jangan belas kasihan lagi kepada pencuri
ini,” titah baginda dengan tegas. Kasihan ya
kawan-kawan pemuda yang tidak bersalah itu telah dijatuhi hukuman yang begitu
berat.
Setelah hukuman dijalankan, salah seorang pegawai istana yang
menjalankan hukuman itu berjumpa dengan raja. “ Tuanku, hukuman telah
dijalankan,” kata pegawai itu kepada raja.
“Bagus! Sekarang
kamu arak pemuda yang kudung itu di sepanjang jalan. Katakan kepada orang ramai
bahawa inilah akibatnya kalau cuba
mencuri harta orang.” Kata raja itu lagi.
Pemuda yang sudah kudung itu diarak
ke sekeliling Bandar untuk diperlihatkan kepada orang ramai. Ketika diarak,
pegawai-pegawai istana memberitahu orang ramai tentang apa yang diperintahkan
oleh raja. Suatu ketika pemuda yang sudah kudung itu menegur pegawai-pegawai
istana.
“Mengapa kamu
berkata demikian? Aku bukan pencuri. Aku hanya derhaka kepada ibuku! Katakan
kepada orang ramai inilah balasan anak yang derhaka kepada ibunya,” Pegawai-pegawai istana hairan dengan penjelasan pemuda itu. Setelah
mendengar cerita pemuda itu, tahulah mereka bahawa pemuda itu tidak bersalah
tetapi apakan daya, nasi telah menjadi bubur.Pemuda itu telah dilepaskan dan
dihantar pulang ke rumahnya. Setibanya di muka pintu, pemuda itu termenung
seketika. Dia tidak tahu cara yang paling baik untuk tidak mengejutkan ibunya.
Pemuda yang kudung itu pun berpura-pura menjadi peminta sedekah supaya ibunya
muncul di muka pintu. Apabila mengetahui ada peminta sedekah di luar rumahnya,
perempuan tua itu pun keluar membawa roti untuk disuapkan ke dalam mulut pemuda
yang kudung itu. Sebaik-baik sahaja roti itu hendak disuapkan, pemuda itu pun
merebahkan dirinya di atas ribaan ibunya lalu berkata,
“Ibu… maafkan
saya ibu. Saya bukan pengemis. Saya ialah anak ibu. Saya telah berdosa kepada
ibu. Ampunkanlah anakmu ini, ibu!”
Menyedari pemuda yang kudung itu
ialah anak kesayangannya, perempuan tua itu pun mendakap anaknya sambil
menangis. Dia tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung oleh anaknya
itu. Si ibu benar-benar menyesal mendoakan perkara yang buruk terhadap anaknya.
Perempuan tua itu pun menadah tangan lalu berdoa,
“Ya, Allah,
segala kesalahan yang dilakukan oleh anakku telah aku ampunkan. Aku tidak
sanggup melihat penderitaan anakku ini. Kau akhirilah hidupku ini bersama-sama
anakku sekiranya mati itu lebih baik bagi kami dan agama kami.”
Doa ibu tua itu akhirnya
diperkenankan Allah. Tidak berapa lama kemudian ibu tua itu menghembuskan
nafasnya yang terakhir kerana sakit dan diikuti pula oleh anaknya yang cacat
itu.
Demikianlah tadi kawan-kawan satu kisah
yang patut kita jadikan teladan. Ingatlah menderhaka kepada ibu bapa, adalah
amat besar dosanya. Di dunia lagi kita akan mendapat balasannya. Syurga itu di
bawah tapak kaki ibu. Sebelum saya mengundur diri dengarkanlah pantun ini.
Masukkan
paku ke dalam raga,
Hati-hati
jangan terluka:
Tingkah
laku perlu dijaga,
Jangan
menjadi anak derhaka.
Sekian, terima kasih. Jumpa lagi
kawan-kawan…
Assalamualaikum, cikgu terima kasih kerana blog cikgu ini telah banyak membantu saya dalam subjek bahasa melayu. saya harap cikgu terus berkongsi maklumat mahupun soalan di blog cikgu ini. Terima kasih cikgu!
ReplyDelete