Thursday, 13 December 2012

Teks Bercerita

Saya ingin berkongsi dengan guru-guru yang melatih murid-murid bercerita. Jika teks ini sesuai bolehlah cikgu gunakan untuk anak-anak murid cikgu.


Cerita Anak Derhaka.

“Ibu! Ibu! Ampunkan Tanggang ibu. Tanggang berdosa kepada ibu!” Itulah sebahagian dialog yang dilafazkan oleh Si Tanggang kepada ibunya. Hai kawan-kawan! Apa khabar? Hari ini saya bukannya hendak bercerita Kisah Si Tanggang, tetapi untuk menyampaikan sebuah cerita yang lebih kurang sama dengan cerita Si Tanggang iaitu mengenai seorang anak yang derhaka kepada ibunya.

            Kisah yang akan saya sampaikan pada hari ini berlaku di negeri Arab. Pada zaman dahulu ada seorang pemuda yang sangat dihormati oleh jiran-jirannya kerana ketinggian ilmunya. Pemuda itu sangat disenangi oleh orang ramai kerana budi pekertinya yang baik. Ya, kawan-kawan, kita juga harus mempunyai budi pekerti yang mulia jika kita mahu disukai oleh orang lain. Pemuda itu menjadi permata hati dan kesayangan ibunya, apatah lagi dia merupakan anak tunggal. Walaupun dianggap sudah berilmu, tetapi pemuda itu merasakan ilmunya belum memadai. Dia bercadang hendak ke Makkah untuk belajar pelbagai ilmu lagi. Dia juga ingin mendalami ilmu yang sudah dipelajari. Baginya, menuntut ilmu itu tidak ada titik perhentiannya. Bagus ya kawan-kawan sikap yang dimiliki oleh pemuda itu. Semakin banyak kita belajar, semakin banyak pula perkara yang kita ketahui.
           
            Pemuda tadi pun memberitahu niatnya untuk ke Makkah kepada ibunya.  

“Ibu, saya bercadang hendak ke Makkah untuk mendalami ilmu pengetahuan agama dengan ulama-ulama besar di sana. Saya mengharapkan keizinan dan restu daripada ibu,” beritahu pemuda dengan suara yang lembut.

“Anakku, engkau adalah mutiara hati ibu. Ibu akan menderita kalau engkau pergi ke sana. Lagi pun ibu sudah tua. Ibu tidak sanggup berpisah dengan engkau bertahun-tahun lamanya. Batalkan sahaja niatmu itu nak,” kata ibunya dengan suara yang sebak.

Pemuda itu sangat hampa mendengar kata-kata ibunya itu. Dia sangat sedih kerana ibunya tidak membenarkan dia pergi menuntut ilmu di Makkah. Semalaman dia tidak dapat tidur memikirkan hal itu.
Keesokan harinya, secara senyap-senyap pemuda itupun berangkat ke Makkah. Dia tidak menghiraukan nasihat ibunya supaya tidak meninggalkan ibunya seorang diri. Pada pagi itu, ibu pemuda itu tercari-cari di mana anaknya. Alangkah sedih hati ibu tua itu apabila mengetahui bahawa anaknya telah meninggalkannnya. Maka berdoalah ibu tua itu.
 “ Ya, Allah! Hatiku sungguh terluka kerana anakku tidak mahu mendengar nasihatku. Anakku pergi juga walaupun tanpa keizinanku. Ya Allah turunkanlah seksa kepada anakku itu Ya Allah.” Suara wanita tua itu merintih dan merayu-rayu. Kasihan ya, kawan-kawan, wanita tua itu telah ditinggalkan seorang diri oleh anak kesayangannya.


            Pemuda itu akhirnya sampai juga ke kota Makkah. Dia meneruskan pengajian ilmu agama di kota yang masyhur dengan tempat-tempat pengajian ilmu itu.
           
Pada suatu malam telah berlaku satu kecurian di kota Makkah. Seorang pencuri telah masuk ke dalam rumah seorang saudagar kaya. Kebetulan pada waktu itu saudagar kaya masih belum tidur lena. Saudagar kaya telah menyedari tentang kehadiran pencuri tersebut lalu segera bangun. Menyedari hal itu, pencuri itu lari lintang-pukang. Dia telah melarikan diri ke arah sebuah masjid dan bersembunyi di dalam masjid tersebut. Saudagar itu terus mengejar pencuri itu.

            Secara kebetulan pada masa itu, pemuda yang belajar di kota Makkah berada di dalam masjid itu. Dia sedang khusyuk berzikir. Dia tidak menyedari akan kedatangan pencuri yang dikejar oleh saudagar tadi. Sebagai langkah untuk menyelamatkan diri, pencuri yang dikejar itu berteriak sambil menunjuk-nunjuk ke arah pemuda yang sedang duduk berzikir itu. Kasihan kawan-kawan, tanpa bersoal jawab pemuda yang berzikir itu telah ditangkap oleh saudagar tadi.
“Engkau hendak mencuri di rumah aku ya? Pandai berdalih dan berpura-pura warak, konon!” kata saudagar kaya itu. Pemuda yang berzikir tadi telah dibawa menghadap raja.
Tuanku, pemuda ini telah menceroboh rumah patik dengan niat hendak mencuri. Patik cuba menangkapnya tetapi dia telah melarikan diri dan cuba bersembunyi di dalam sebuah masjid. Dia berpura-pura warak dengan berzikir. Mujurlah ada pemuda yang memberitahu patik di mana dia berada,” kata saudagar kaya itu kepada raja. Raja yang mendengar kata-kata saudagar itu tidak bersoal banyak. Dengan wajah yang murka, baginda telah menjatuhkan hukuman ke atas pemuda itu dengan memotong tangan dan kakinya.
“ Butakan juga matanya. Jangan belas kasihan lagi kepada pencuri ini,” titah baginda dengan tegas. Kasihan ya kawan-kawan pemuda yang tidak bersalah itu telah dijatuhi hukuman yang begitu berat.
Setelah hukuman dijalankan, salah seorang pegawai istana yang menjalankan hukuman itu berjumpa dengan raja. “ Tuanku, hukuman telah dijalankan,” kata pegawai itu kepada raja.
“Bagus! Sekarang kamu arak pemuda yang kudung itu di sepanjang jalan. Katakan kepada orang ramai bahawa inilah akibatnya kalau cuba mencuri harta orang.” Kata raja itu lagi.
            Pemuda yang sudah kudung itu diarak ke sekeliling Bandar untuk diperlihatkan kepada orang ramai. Ketika diarak, pegawai-pegawai istana memberitahu orang ramai tentang apa yang diperintahkan oleh raja. Suatu ketika pemuda yang sudah kudung itu menegur pegawai-pegawai istana.
“Mengapa kamu berkata demikian? Aku bukan pencuri. Aku hanya derhaka kepada ibuku! Katakan kepada orang ramai inilah balasan anak yang derhaka kepada ibunya,” Pegawai-pegawai istana hairan dengan penjelasan pemuda itu. Setelah mendengar cerita pemuda itu, tahulah mereka bahawa pemuda itu tidak bersalah tetapi apakan daya, nasi telah menjadi bubur.Pemuda itu telah dilepaskan dan dihantar pulang ke rumahnya. Setibanya di muka pintu, pemuda itu termenung seketika. Dia tidak tahu cara yang paling baik untuk tidak mengejutkan ibunya. Pemuda yang kudung itu pun berpura-pura menjadi peminta sedekah supaya ibunya muncul di muka pintu. Apabila mengetahui ada peminta sedekah di luar rumahnya, perempuan tua itu pun keluar membawa roti untuk disuapkan ke dalam mulut pemuda yang kudung itu. Sebaik-baik sahaja roti itu hendak disuapkan, pemuda itu pun merebahkan dirinya di atas ribaan ibunya lalu berkata,
“Ibu… maafkan saya ibu. Saya bukan pengemis. Saya ialah anak ibu. Saya telah berdosa kepada ibu. Ampunkanlah anakmu ini, ibu!”
            Menyedari pemuda yang kudung itu ialah anak kesayangannya, perempuan tua itu pun mendakap anaknya sambil menangis. Dia tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung oleh anaknya itu. Si ibu benar-benar menyesal mendoakan perkara yang buruk terhadap anaknya. Perempuan tua itu pun menadah tangan lalu berdoa,
“Ya, Allah, segala kesalahan yang dilakukan oleh anakku telah aku ampunkan. Aku tidak sanggup melihat penderitaan anakku ini. Kau akhirilah hidupku ini bersama-sama anakku sekiranya mati itu lebih baik bagi kami dan agama kami.”
            Doa ibu tua itu akhirnya diperkenankan Allah. Tidak berapa lama kemudian ibu tua itu menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana sakit dan diikuti pula oleh anaknya yang cacat itu.

Demikianlah tadi kawan-kawan satu kisah yang patut kita jadikan teladan. Ingatlah menderhaka kepada ibu bapa, adalah amat besar dosanya. Di dunia lagi kita akan mendapat balasannya. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Sebelum saya mengundur diri dengarkanlah pantun ini.

            Masukkan paku ke dalam raga,
            Hati-hati jangan terluka:
            Tingkah laku perlu dijaga,
            Jangan menjadi anak derhaka.

Sekian, terima kasih. Jumpa lagi kawan-kawan…

Saturday, 1 December 2012

Alatan-Alatan Tradisional Memproses Padi

Nasi adalah makanan ruji rakyat negara ini, khususnya orang Melayu. Sedarkah kita bahawa banyak yang tidak tahu bagaimana memproses padi yang ditanam. Anak-anak kita tidak tahu bagaimana padi diproses untuk dijadikan beras. Pada kesempatan ini saya ingin sertakan gambar-gambar alat-alat tradisional untuk memproses padi bagi tatapan semua. Semoga gambar ini dapat menambahkan ilmu.